KUALA LUMPUR: Kesukaran untuk mengutip hasil cukai menerusi Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) mungkin menjadi antara faktor menyebabkan kerajaan memutuskan untuk meningkatkan kadarnya daripada enam peratus kepada lapan peratus, malah mempertimbangkan semula sistem cukai berkenaan.
Setiausaha Agung Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia (MATA), Dr Mohd Fairuz A Razak, berkata terdapat beberapa faktor yang mungkin menyebabkan kesukaran mengutip cukai menerusi SST seperti pengeluaran yang tidak dilaporkan, kegagalan pemantauan serta penguatkuasaan, kawalan berlebihan dan pelarasan kadar yang tidak sesuai.
“Salah satu masalah yang sering berlaku dalam sistem SST adalah pengeluaran yang tidak dilaporkan atau pelbagai bentuk kegiatan ekonomi yang berlaku di luar radar sistem cukai. Ini mungkin berlaku apabila perniagaan tidak mematuhi peraturan cukai atau sengaja mengelakkan pembayaran cukai. Di sini akan wujud ekonomi bayangan dan kelompong mengelak cukai.
“Pemantauan dan penguatkuasaan cukai yang lemah boleh menyebabkan kebocoran dalam pengutipan cukai. Jika pihak berkuasa tidak mempunyai sumber yang mencukupi untuk memantau dan memastikan pematuhan, maka peluang untuk pengelakan cukai akan meningkat, contohnya penggunaan sistem perakaunan untuk meyemak semula pelaporan cukai itu,” katanya kepada BH.
Bagi aspek kawalan berlebihan, Mohd Fairuz berkata, proses pematuhan yang rumit dan sukar boleh menghalang perniagaan dari mematuhi undang-undang cukai dengan betul seperti terlalu banyak pelaporan dalam satu masa untuk berbagai cukai merumitkan peniaga untuk melaporkannya berbanding ketika pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
“Kadangkala, kadar cukai mungkin tidak sesuai dengan keperluan ekonomi dan perniagaan. Kadar cukai yang terlalu tinggi mungkin menyebabkan pengelakan cukai atau keengganan untuk mematuhi peraturan cukai, keadaan dan masa yang tidak sesuai,” katanya.
Beliau walau bagaimanapun menegaskan, masalah dalam pengutipan cukai tidak semestinya bermakna bahawa SST adalah sistem yang tidak berkesan secara keseluruhannya.
“Ia mungkin memerlukan penambahbaikan dari segi pemantauan, penguatkuasaan dan peraturan untuk meningkatkan keberkesanannya.
“Di samping itu, pertimbangan semula sistem cukai atau pertukaran kepada GST mungkin juga menjadi pilihan yang harus dipertimbangkan oleh kerajaan bagi memastikan pengutipan cukai yang lebih cekap dan adil, selain mengelak daripada ekonomi bayangan dan ketidakpatuhan cukai,” katanya.
Mohd Fairuz berkata, wujud kemungkinan bahawa isu kutipan SST boleh menjadi antara faktor yang mempengaruhi keputusan kerajaan untuk memperkenalkan cukai baharu seperti Cukai Barang Bernilai Rendah dan Cukai Barangan Mewah.
Katanya, apabila menghadapi cabaran untuk mengutip cukai menerusi SST, kerajaan mungkin perlu mencari sumber pendapatan alternatif untuk memenuhi keperluan kewangan negara.
“Cukai Barang Bernilai Rendah biasanya dikenakan ke atas barangan import yang memiliki nilai rendah, sementara Cukai Barangan Mewah dikenakan ke atas barangan mewah atau berharga tinggi seperti kereta mewah, jam mewah, perhiasan, dan lain-lain. Pengenalan cukai ini boleh membantu meningkatkan pendapatan kerajaan jika dikelola dengan berkesan,” katanya.
Beliau menjelaskan, pengenalan cukai baharu tidak selalunya secara langsung berkaitan dengan masalah pengutipan daripada SST, tetapi mungkin juga dipengaruhi oleh faktor lain seperti perubahan dalam struktur ekonomi, keperluan untuk mengimbangi belanjawan atau keinginan untuk menggalakkan pematuhan cukai dan mengurangkan pengelakan cukai.
“Selain itu, keputusan untuk memperkenalkan cukai baharu harus dipertimbangkan secara menyeluruh termasuk kesan ekonomi, sosial dan politik kepada rakyat serta ekonomi negara.
“Kesimpulannya, walaupun isu pengutipan daripada SST mungkin memainkan peranan dalam keputusan kerajaan untuk memperkenalkan cukai baharu, tetapi keputusan ini mungkin juga dipengaruhi oleh pelbagai faktor yang lain.
“Lebih berkesan jika GST dilaksanakan berbanding membuat perluasan skop untuk meningkatkan pematuhan cukai kepada negara,” katanya.
Kredit : https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2024/02/1211592/sukar-kutip-sst-mungkin-faktor-kadar-naik-ke-lapan-peratus-pakar