SANDBOX Malaysia secara rasminya dilancarkan pada Julai 2024 di Bank Muamalat Malaysia Berhad, hasil daripada inisiatif yang mula digerakkan sejak Januari 2024. Penubuhan ini adalah respons langsung terhadap krisis ekonomi, sosial dan pendidikan yang melanda negara, khususnya dalam kalangan komuniti Muslim pasca pandemik COVID-19.
Pandemik dan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah meninggalkan kesan mendalam terhadap landskap keusahawanan negara. Statistik menunjukkan lebih daripada 176,000 usahawan terpaksa menutup perniagaan, manakala ribuan lagi menghadapi tekanan kewangan akibat beban hutang susulan moratorium pinjaman. Fenomena ini turut menyumbang kepada peningkatan golongan asnaf dalam kalangan bekas usahawan, iaitu individu berpendapatan rendah dan berhutang.
Dalam masa yang sama, krisis keyakinan terhadap sistem pendidikan tinggi mula timbul. Pada tahun 2023, sejumlah besar pelajar lepasan sekolah tidak mengambil peperiksaan SPM, manakala ramai lagi memilih untuk tidak menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi. Keadaan ini menyebabkan institusi pengajian tinggi mengalami kekurangan pelajar secara mendadak.
Lebih membimbangkan, kadar pengangguran meningkat, termasuk dalam kalangan pemegang ijazah sarjana dan PhD. Tekanan hidup akibat masalah kewangan turut menyumbang kepada kes perceraian dan kes bunuh diri dalam kalangan masyarakat.
Dalam sektor ekonomi, pekerja asing yang asalnya mengisi sektor 3D (dirty, dangerous, difficult) kini mula mengambil alih sektor keusahawanan kecil, sekali gus mengancam peluang ekonomi untuk usahawan Muslim tempatan.